Friday, February 18, 2011

Relevan Penganjuran KAMU'11.



“Sekiranya ingin melihat kekuatan sesebuah negara, lihatlah kepada anak-anak mudanya”. 


Ungkapan ini merupakan ungkapan yang pernah diucapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab yang mana beliau berpendapat bahawasanya anak mudalah yang akan mencorak kepimpinan dan kekuatan sesebuah negara.  Sekiranya anak muda sesebuah negara dilihat begitu lemah , maka negara yang terbentuk akan mudah didominasi serta diambil kesempatan oleh pihak lain. Hal ini membuktikan betapa pentingnya peranan generasi anak muda selaku tunggak kepada pembangunan sesebuah bangsa dan negara. 

Namun kini, acapkali kita diperdengar mengenai isu-isu hangat yang melibatkan anak-anak  muda. Sebagai contoh isu pembuangan bayi, seks bebas, samseng jalanan dan lain-lain.  Isu-isu ini semakin membimbangkan apabila ia sering dikaitkan dengan remaja Islam. Permasalahan yang berlaku ini telah membawa kita untuk berfikir sejenak dimanakah salah dan silapnya kita sebagai masyarakat dalam mendidik golongan harapan ini.  

Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud : “Setiap anak itu dilahirkan secara fitrah, maka ibu bapanyalah yang sama ada menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”. 

Berdasarkan hadis berikut, jelas menunjukkan bahawa ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi seseorang anak.  Namun, tudingan jari tidak seharusnya ditujukan sepenuhnya kepada ibu bapa kerana faktor–faktor persekitaran juga mampu mempengaruhi akhlak dan tindak tanduk anak muda kini. Oleh yang demikian, setiap pihak perlu berusaha untuk membendung masalah ini daripada terus menular. 

Justeru itu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia mengambil inisiatif dengan merencana  satu program “Karnival Anak Muda” bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda kini bahawasanya mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk mewarnai kepimpinan masa depan. 

Aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam  karnival ini dilihat mampu membantu anak muda untuk membina potensi diri dalam usaha melahirkan aset yang berkepentingan untuk negara suatu hari nanti. InsyaAllah.

Allahu 'alam.

No comments:

Post a Comment